KENYATAAN MEDIA KPM KALENDAR AKADEMIK 2023 /2024


KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
KALENDAR AKADEMIK SESI 2023/2024

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa 
sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 akan 
bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi sekolah di negeri 
Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 
20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi sekolah di negeri Kumpulan B 
(Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, 
Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah 
Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).
KPM membuat ketetapan untuk menangguhkan pembukaan sekolah 
bagi sesi persekolahan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 yang 
dijadualkan bermula pada 12 Mac 2023 bagi Kumpulan A dan 
13 Mac 2023 bagi Kumpulan B seperti dalam Surat Siaran 
Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021: 
Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 dan Kalendar Akademik 
Sesi 2022/2023 untuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan 
Kerajaan KPM supaya pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran 
Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan lancar.
Sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 
dikekalkan pada bulan Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi 
Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 
1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari 
persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang 
daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.
KPM juga mengambil maklum cadangan daripada beberapa pihak 
untuk mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada bulan 
Januari. KPM berpandangan bahawa perkara ini boleh dilaksanakan 
dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula 
daripada tahun 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah 
hari persekolahan dalam kalendar akademik. Namun, mengambil kira 
kebajikan para guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara, KPM 
mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan ini bagi 
meminimakan impak kepada pihak-pihak berkaitan.
KPM juga mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada 
pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada 
bulan November dan Disember kerana bertembung dengan musim 
tengkujuh. Pelaksanaan peperiksaan SPM dalam musim tengkujuh 
boleh menimbulkan tekanan bukan sahaja bagi guru dan petugas 
peperiksaan, malah kepada murid dan ibu bapa yang terlibat. Apabila 
SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon 
terbabit bagi kemasukan ke universiti juga akan lebih pendek 
berbanding sebelum ini.
Walau bagaimanapun, KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan 
kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya 
bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat 
dilaksanakan secara optimum.
Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 boleh di muat turun melalui laman 
sesawang KPM di pautan https//www.moe.gov.my/takwim. 
KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.
-TAMAT-
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
10 DISEMBER 2022
Previous Post Next Post